Terokai kehidupan marin di aquarium bersaiz gergasi di tempat menarik terbaharu di Johor iaitu Sea Life Malaysia. Aquarium bertaraf antarabangsa ini merupakan sebahagian daripada Legoland Malaysia Resort.
Dengan adanya Sea Life yang baru dibuka pada April 2019 lalu, maka lengkaplah Nusajaya sebagai tempat peranginan kerana lokasi ini telah pun memiliki beberapa buah taman tema. Iaitu Legoland, Hello Kitty Town, dan Thomas Town.
Nak tahu apa yang menarik Sea Life? Teruskan membaca artikel ini.
Memandangkan ia merupakan aquarium bertaraf antarabangsa, ia menempatkan lebih 13,000 hidupan marin pelbagai spesis. Semuanya dimuatkan di dalam bangunan dua tingkat dan berkeluasan 2,123 meter persegi.
Pengunjung seolah berada di dalam dasar laut kerana pamerannya yang menarik. Anda boleh lihat pelbagai jenis ikan berenang-renang di atas kepala menyusuri aquarium yang berair jernih.
Anda dapat menyaksikan variasi hidupan laut yang ditempatkan dalam lebih daripada 25 buah tangki yang dibina menyerupai habitat asal mereka.
Antara hidupan marin yang dapat anda saksikan termasuklah perlbagai spesis ikan jerung, ikan paus, obor-obor, ikan lumba-lumba, pari, dan banyak lagi.
Pameran bertaraf antarabangsa
Setiap pameran memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung. Ini kerana setiap satu daripadanya dipaparkan melalui penceritaan, pameran interaktif, malah sesetengahnya membenarkan anda membelai ikan-ikan jinak.
Ini adalah salah satu usaha Sea Life Malaysia untuk mendidik pengunjung khususnya kanak-kanak akan ekosistem laut, dan pentingnya dalam menjaga hidupan marin.
Terdapat beberapa zon yang membenarkan pengunjung menyentuh ikan jinak seperti ikan pari, tapak sulaiman, dan lain-lain.
Tarikan yang ada di Sea Life Legoland
- Saksikan pertunjukkan ikan pari yang ‘menari-nari’ di dalam aquarium
- Sedia untuk melihat kilauan obor-obor yang bercahaya dalam kegelapan
- Terokai terowong 180 darjah yang dilingkungi jerung jenis Black Tip Reef
- Rasai pengalaman ke zon yang menyerupai Hutan Hujan Malaysia yang mempamerkan keadaan sepenar berada di hutan belantara. Ini adalah pameran eksklusif yang hanya boleh di dapati di Sea Life Johor.
12 zon menarik
Ocean Tunnel
Kawasan yang paling digemari pengunjung. Sebuah terowong yang berbumbung kaca yang mempamerkan keindahan hidupan laut. Sekali sekala, dapat juga anda lihat ikan jerung berenang di atas kepala.
Ocean Cave
Masuk ke dalam gua buatan yang menempatkan beberapa buah aquarium pada dinding. Seolah anda menyelam ke dalam gua dasar laut sebenar!
Shoaling Ring
Sebuah bilik berbentuk bulat dan dikelilingi dinding kaca aquarium. Di sini, pengunjung boleh melihat ikan berenang-renang terutamanya spesis yellow tail fusilier yang berenang dalam kumpulan.
Rockpool
Menyimpan impian untuk menyentuh tapak sulaiman atau timun laut? Inilah masanya. Staff yang berpengalaman akan membantu anda dan dalam masa sama mereka akan berkongsi fakta-fakta menarik tentang setiap ikan yang anda sentuh.
Malaysian Rainforest
Pengunjung akan menyelusuri zon yang dibina seakan hutan hujan tropika negara ini. Setiap kawasan dipenuhi dengan pokok-pokok, dan bunyi burung untuk membangkitkan suasana hutan rimba.
Memandangkan Sea Life ini terletak di Johor, anda juga bakal memperoleh banyak informasi tentang Sungai Johor, bagaimana kerajaan menjaganya supaya ia kekal bersih untuk seimbangkan ekosistem.
Seahorse Nursery
Lawati zon yang didedikasikan khas buat kuda laut. Pelajari tentang keunikan spesis ini melalui habitat dan makanan mereka.
Stingray Bay
Dibina bagaikan sebuah lagun, ia khas buat pengunjung menyaksikan pelbagai spesis ikan pari. Jika anda mempunyai banyak masa, anda boleh berenang bersama ikan pari jinak yang akan diawasi oleh staf berpengalaman.
Coral Reef
Sebuah zon yang penuh dengan terumbu karang yang berwarna warni. Di sini anda akan disajikan dengan keindahan batu karang yang indah. Dalam masa sama, melihat ikan-ikan kecil seperti clownfish (Nemo), dory, dan banyak lagi berenang mencari makanan.
Sunken Shipwreck
Lautan dan kapal karam sudah tidak dapat dipisahkan. Di sini pengunjung dapat mempelajari bagaimana bangkai kapal dapat membantu dalam melahirkan lebih banyak spesis ikan? Terutamanya dengan sejarah peperangan di kawasan Asia Tenggara.
Harga tiket Sea Life Malaysia
- Dewasa – RM95 (Adult)
- Kanak-kanak / warga emas – RM74
Waktu operasi: 10 am – 6 pm
Alamat: 7 Jalan LEGOLAND Bandar Medini Iskandar Malaysia 79250 Iskandar Puteri (Nusajaya), Johor Darul Takzim
Memang tidak rugi bawa anak-anak ke sini. Kalau anda baca Sea Life review, rata-ratanya memberi respon yang positif.
Okay? Sea Life Malaysia di Johor ini memang menarik bukan? Jadi, sudah alang-alang melawat tempat menarik Johor Bahru dan ingin ke Legoland, apa kata anda bawa anak-anak ke Sea Life!